Rabu, 24 Jun 2009

IBADAH HAJI DAN MASYARAKAT BUGIS

Bagi umat Islam, ibadah haji adalah rukun kelima yag menjadi ibadah penyempurna setelah selesai menjalankan rukun lainnya; mengucap dua kalimah syahadat, sholat, puasa dan zakat. Menunaikan ibadah haji di tanah suci Islam; Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah yang berada di wilatah Kerajaan Arab Saudi, menjadi cita-cita dan impian setiap muslim untuk dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidupnya.
Seperti yang kita sedia maklum masyarakat bugis yang menjunjung tinggi ajaran islam biasanya bersedia melakukan apa saja demi melaksanakan ibadah Haji. Bahkan kadangkala terdapat individu bugis yang rela menjual aset mereka seperti, tanah, kendaraan, perhiasan, dan aset lainnya demi untuk menunaikan ibadah ini. Sedangkan mereka yang berkemampuan lebih, kadangkala kedengaran juga orang kita yang membawa anak mereka menunaikan ibadah ini meskipun anak mereka belum cukup umur. Namun kadangkala saya juga merasa sedih meskipun niatnya baik tapi caranya salah dimana masih terdapat juga orang kita yang sanggup menunaikan ibadah haji dengan cara berhutang. Dan masih terdapat lagi tabiat dikalangan masyarakat kita yang menunaikan haji hanya untuk mencari gelaran nama di hadapan agar dipandang sebagai individu yang mempunyai prestij yang sangat tinggi.

Kekuatan semangat masyarakat bugis dalam menunaikan ibadah haji juga dapat terserlah jika kita melihat pada sejarah lampau iaitu masyarakat bugis yang hidup pada era 70-an zaman sebelum system pengangkutan semudah sekarang, mereka yang ingin menunaikan haji terpaksa mengunakan kapal laut. Mereka memerlukan ketahanan dan kesabaran untuk megharungi dan merentasi lautan luas selama 3-6 bulan untuk sampai ke destinasi. Meskipun sukar demi untuk meralisasikan ibadah ini mereka tetap sanggup menunaikan ibadah haji demi menyahut seruan Ilahi dan memenuhkan rukun Isalam yang ke Lima.
Dalam meninjau semangat dan cita-cita orang bugis untuk menunaikan ibadah haji terdapat beberapa keunikan yang boleh kita perhatikan
1. Saya kadangkala tertampar dengan semangat masyarakat bugis di kawasan ladang-ladang sawit dimana meskipun gaji mereka sekitar RM 9 – 15 sehari namun usaha mereka untuk merealisasikan ibadah haji selalu mereka impikan. Dan tidak sedikit masyarakat bugis yang tinggal di ladang-ladang sawit di negeri Sabah ini mampu menunaikan ibadah haji.Tidak keterlaluan kalau saya katakana hampir setiap tahun masyarakat bugis yang tinggal ladang sawit di bumi sabah ini mempunyai wakil sekurang-kurangnya 2-3 orang dalam satu musim haji. Jadi bayankan berapa jemaah haji Bugis jika kita mengira ladang-ladang sawit yang terdapat di sabah ini. Saya seperti mendapat pengajaran bahawa meskipun gaji saya lebih besar daripada mereka namun kekuatan semangat mereka sukar untuk saya tandingi.
2. Selain itu dengan adanya sisitem kuota yang diperkenalakan oleh kerajaan Arab Saudi, maka jemaah hari ini terpaksa akur untuk menantikan giliran. Namun bagi mereka yang betul-betul rindu dengan tanah suci, mereka tetap mencari alternative lain iaitu dengan mencari kuota di Indonesia khususnya di kepulauan jawa dan kalimantan meskipun bayarannya relative mahal berbanding dengan Malaysia. Dan mereka sanggup mengambil cuti sementara dan sanggup mengeluarkan duit lebih yang penting kerinduan mereka pada tanag suci termakbul.
Kesimpulanya ibadah haji dalam masyarakat bugis seolah-olah sudah menyatu dalam sanubari mereka, dan tidak keterlaluan juga kalau saya katakana bahawa kekuatan semangat bugis dalam menunaikan ibadah haji bukan sahaja diiktiraf oleh orang bugis tetapi turut diiktiraf oleh bangsa-bangsa lain yang berada di Sabah dan Nusantara. Sebagai generasi bugis marilah kita menyambung tradisi ini dengan menanamkan semanagat dan cita-cita agar suatu hari kelak kita juga akan sampai ke bumi Mekkah dan Madinah untuk mencari keredaan Allah bukan untuk mencari nama atau gelaran.




Tiada ulasan: